Pasca PKP Covid-19: Tempoh Terbaik Idea Pemansuhan Cukai Hiburan Pawagam

Ketika ini pada 10 April 2020, kerajaan melalui perutusan khas YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020. Dalam usaha menjaga kebajikan rakyat, kerajaan sedang melakukan sehabis mampu untuk memberikan peruntukan dan bantuan kepada semua rakyat yang terjejas. Dari penangguhan bayaran pinjaman bank selama 6 bulan, kebenaran mengeluarkan akaun 2 KWSP, bantuan wang tunai, pembiayaan subsisdi upah kepada majikan dan banyak lagi ternyata memberikan manfaat besar kepada seluruh masyarakat di negara kita. Alhamdulillah dan syukur di atas keperihatinan kerajaan kepada kepedulian rakyat seluruh negara. Sesungguhnya kita ternyata jauh lebih baik berbanding beberapa negara di dunia yang sedang berhadapan dengan fenomena ini.

Pelbagai pihak tampil dengan idea dan pandangan bagaimana pakej bantuan kepada rakyat dan industri dapat dipertingkatkan. Dan kerajaan mengambil inisiatif mendengar pandangan dengan mengambil-kira kemampuan kerajaan dari segi kewangan dan infrastruktur. Dalam negara demokrasi ini, setiap rakyat mempunyai hak dari segi individu atau berkumpulan untuk menyuarakan pandangan mereka masing-masing.

Atas falsafah ini, saya juga ingin melontarkan satu pandangan dan cadangan untuk mungkin harus kita gerakkan selepas ini dalam Pasca PKP Covid-19 ini. Namun begitu, saya berharap agar cadangan ini tidak menjadi satu keterlanjuran dan merupakan cadangan penambahan pakej yang melibatkan industri perfileman dalam tempoh yang mencabar ini. Ini bukan cadangan permintaan untuk permohonan wang tunai secara langsung tetapi lebih kepada pengecualian kepada bayaran pada pakej tertentu dalam sistem percukaian.

Secara jujurnya, saya mencadangkan agar pemansuhan Cukai Hiburan 20% pada penjualan tiket kasar di pawagam dapat dilaksanakan pada musim pasca PKP Covid-19 terutama dalam waktu kritikal 6 bulan hingga 1 tahun PKP ditamatkan. Kutipan cukai tersebut diserahkan semula kepada penerbit dan pawagam untuk pembahagian jualan seperti yang mereka persetujui dalam kontrak tayangan.

Sebelum kita melihat kepada kesesuaian cadangan ini, mari kita memahami latar belakang cukai hiburan 20% ini dan kesan kepada penerbit dan pawagam jika ianya dimansuhkan. Perniagaan pawagam secara asasnya memiliki 2 lesen utama yang perlu dipohon. Yang pertama ialah lesen FINAS dan yang kedua ialah lesen Perniagaan Pawagam. Lesen FINAS dikeluarkan oleh Bahagian Perlesenan Dan Penguatkuasaan FINAS dengan punca kuasa di bawah Akta 244 FINAS manakala lesen perniagaan dikeluarkan oleh penguasa tempatan dalam Kerajaan Tempatan mengikut bandar dan daerah. Kedua-dua lesen ini mempunyai kadar pembayaran tahunan yang ditetapkan dan ketika ini kadar yang dikenakan masih dianggap tidak membebankan walaupun kalau mengikut pengedaran masa, ianya sudah boleh dikaji semula jika perlukan sebarang penambah-baikan.

Melalui pecahan lesen ini, kelulusan bagi kebenaran lesen perniagaan pawagam terikat pada Peraturan Lesen Hiburan bagi setiap negeri yang menetapkan setiap kutipan kasar jualan tiket akan dikenakan cukai sebanyak 20%. Pada era 90an hingga awal tahun 2000, atas kapasiti menyokong industri perfileman tempatan, kerajaan negeri pada masa itu membenarkan pemulangan cukai ini khusus untuk penerbit-penerbit tempatan. Namun, pemulangan cukai tersebut dimansuhkan dan semua kerajaan negeri tidak lagi membuat pemulangan cukai tersebut kepada penerbit dan ini adalah bidang kuasa mutlak kerajaan negeri atas punca kuasa yang dimilikinya.

Lantaran dari itu, sebagai mengimbangi dan membuat alternatif gantian maka FINAS telah membuat inisiatif untuk membuat pembayaran berasaskan kutipan pawagam melalui program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) di bawah Rancangan Malaysia ke 11. Namun usaha untuk memujuk kerajaan negeri agar kembali membuat pulangan pembayaran kepada penerbit-penerbit filem tempatan masih terus dijalankan dan komunikasi yang berterusan giat dilaksanakan bukan sahaja oleh FINAS sendiri tetapi juga melalui persatuan-persatuan yang berkaitan seperti Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE). Pada tahun lepas sahaja, FINAS telah mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan beberapa kerajaan negeri untuk membincangkan perkara ini namun hingga kini, masih belum ada kata putus menjurus kepada persefahaman ini. Umumnya mudah difahami, pertama ianya melibatkan pendapatan kerajaan dan keduanya, kita tidak punya alasan kukuh untuk pertimbangan kerajaan negeri untuk memansuhkannya.

Namun kini, melihat kepada senario yang melanda kita dalam musim PKP Covid-19 ini, dengan usaha yang digiatkan oleh kerajaan untuk membantu semua pihak dan industri yang terkesan, saya merasakan kita sudah mempunyai asas yang jelas dan ini merupakan masa yang terbaik untuk kita meningkatkan perbincangan dan membuat rayuan serta membuat penjelasan kepada kerajaan negeri untuk memansuhkan cukai hiburan 20% dan menyerahkan semua kutipan kepada agihan penerbit dan pawagam.

Saya tegaskan begini kerana pada pasca Covid-19 ini, kebanyakan industri akan memerlukan masa untuk kembali stabil. Tidak terkecuali kepada industri perfileman di mana ketiga-tiga ekosistem penerbitan, pengedaran dan pemameran yang akan turut merasa kesannya. Dalam perbincangan dalaman, filem-filem di bawah wajib tayang yang akan kembali masuk ke pawagam untuk tayangan pasti mengalami pelbagai cabaran terutama dalam mendepani cabaran dan persepsi penonton untuk datang kembali ke pawagam. Kita akan menjangkakan kutipan pawagam akan sangat lemah pada peringkat awal pasca PKP Covid-19 dan ketika ini sokongan dari semua pihak adalah amat diperlukan. Oleh itu, dengan kekuatan penontonan yang kita jangkakan mengambil masa untuk stabil ditambah dengan potongan cukai 20% dari jualan tiket, sudah pasti memberikan banyak kesan kepada ekosistem terutama nya penerbit.

Oleh itu, usaha ini harus diberikan tumpuan untuk kita berbincang dan menyakinkan kerajaan negeri untuk memansuhkan potongan cukai hiburan bagi kutipan pawagam. Jika ini mampu dilaksanakan maka kita menganggap ini satu lagi insentif kerajaan dalam membantu industri perfileman bermula dari musim kepayahan ini dan akan memberikan kesan jangka panjang kepada pembangunan industri filem melalui pendapatan hasil karya mereka.

Kita faham, cadangan pemansuhan cukai hiburan pawagam ini pastinya akan memberikan kesan kepada kerajaan tempatan di bawah kerajaan negeri kerana ianya melibatkan kutipan pendapatan kerajaan namun ekosistem perfileman tempatan lebih merasakan keperluan untuk membantu mereka kekal berkarya dan meningkatkan keupayaan untuk kekal beroperasi.

Akhir sekali, sekali lagi saya ingin menekankan bahawa, seperti mana penulisan saya sebelum ini, segala apa yang ingin kita capai untuk industri, bukan hanya kredit yang dilakukan oleh agensi seperti FINAS, malah ianya adalah usaha setiap semangat komuniti nya yang terdiri dari persatuan-persatuan dan individu dalam industri ini.

Sekadar pandangan peribadi

Onn Norshal Hamzah

# StayAtHome

error: Content is protected !!