Industri Pawagam Di Malaysia Pasca Covid-19

Pada 3hb April 2020, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah telah membuat kenyataan bahawa rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak berhimpun dalam tempoh 6 bulan hingga setahun. Saranan ini dibuat bagi meneruskan usaha untuk menanggani penularan wabak Koronavirus 19 (COVID-19) yang sedang melanda Malaysia dan dunia ketika ini. Kenyataan ini di sambut dengan pelbagai pandangan dari masyarakat. Walaupun hakikatnya itu adalah saranan yang terbaik dari pakar kesihatan negara ini, namun masyarakat akan merasai cabaran lain terutama sekali dalam sektor ekonomi.

Dalam aspek ini, saya ingin melihat kepada cabaran yang bakal dilalui oleh industri filem negara terutama dalam sektor pemameran ataupun pawagam. Dengan kekangan untuk berhimpun secara tidak langsung akan memberikan kesan kepada pawagam. Walaupun pada dasarnya kerajaan mungkin tidak akan menyekat operasi pawagam dijalankan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun persepsi dan kerisauan masyarakat untuk berkunjung ke pawagam akan menyebabkan industri ini akan menjadi malap dalam tempoh 6 bulan atau mungkin hingga setahun mengikut perkembangan semasa COVID-19 di dalam dan luar negara,

Memang kita akui, masih ada altenatif lain untuk industri filem untuk menayangkan filem mereka antaranya memalui saluran media altenatif seperti Netflix, Iflix, Astro On Demand, Saluran Media atas talian dan lain-lain namun industri pawagam mempunyai tarikan dan kekuatannya yang sendiri. Pawagam mempunyai pengikutnya yang sentiasa ada dan sokongan mereka kepada pawagam akan menjadi pengukur kutipan pecah panggung melalui jumlah penontonan.

Lembaran sejarah telah membuktikan bahawa pembangunan pawagam sentiasa berkembang dari masa ke semasa. Industri ini sentiasa berinteraksi dengan teknologi moden dan menjadikannya sentiasa relevan untuk tuntutan masyarakat. Bermula dari era pawagam terbuka di lapangan luas hingga beralih ke pawagam Stand Alone sebelum mencapai era Cineplex dan Multiplex seperti hari ini, kutipan di Malaysia sahaja telah mencecah RM 1 billion mengikut catatan kutipan kasar dalam negara pada tahun 2019 dengan kapasiti 160 pawagam di seluruh negara. Dalam era ini, industri pawagam dunia hanya berdepan era kemuraman pada sekitar pertengahan tahun 80an di mana industri saingi dengan teknologi Video Tape yang memperlihatkan banyak pawagam persendirian menutup perniagaan.

Namun selepas itu, industri kembali bangkit apabila banyak pelabur besar melibatkan diri dalam industri ini dan ianya terus pesat hingga ke hari ini.

Hanya pada tahun 2020, industri pewagam kembali muram. Dengan serangan wabak COVID-19 ini, banyak pengedar filem termasuk pengedar filem antarabangsa telah menangguhkan tayangan. Berdasarkan rekod terkini, studio utama di Amerika Syarikat yang mengeluarkan filem blockbuster barat, telah mengeluarkan pengumuman rasmi dengan kebanyakkan filem utama mereka yang sepatutnya ditayangkan pada musim panas tahun ini telah dianjakkan ke tahun hadapan 2021. Ini memberikan indiskasi bahawa pasaran pawagam yang bergantung kepada produk barat akan terjejas teruk pada tahun ini.

Persoalannya, apakah cabaran yang dilalui oleh industri pawagam ini dalam penularan wabak COVID-19 akan memberikan satu lagi tempoh kejatuhan industri ini selepas apa yang dilalui pada era 80an? Dan nasihat Ketua Pengarah Kesihatan untuk kita elakkan perhimpunan itu juga termasuk dalam industri ini dan seterusnya menyebabkan operasi pawagam terjejas? Jika jawapan nya ya, maka natijahnya, ekosistem yang berkaitan dengan industri ini seperti pengedaran dan penerbitan filem akan terjejas. Secara tidak langsung, kita akan dapat melihat beberapa pawagan persendirian akan menutup operasi nya seperti apa yang berlaku pada dekad yang lepas.

Namun, sejujurnya dari sudut yang lain, saya melihat perkara ini sebaliknya.

Pada pandangan saya, apa yang dilalui oleh kita pada hari ini adalah masalah global dan bukannya masalah spesifik kepada sesuatu industri. Saya percaya ini adalah perhentian sementara kepada ekonomi dan perusahan global. Pandangan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengelakkan perhimpunan pada saya merujuk kepada perhimpunan tanpa kawalan dan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. Oleh itu kita harus menghormati saranan ini dengan melihat kepada pendekatan kreatif dalam mendepani hari-hari yang mendatang.

Dalam konteks pawagam, saya merasakan operasi boleh diteruskan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita harus melihat bagaimana pasaraya dan perusahan yang dibolehkan ketika PKP di mana kawasan tumpuan ini masih boleh dikunjungi dengan beberapa prosedur kawalan untuk dipatuhi. Oleh itu, pendekatan seperti ini harus dicontohi dan dijadikan rujukan.

Oleh itu, antara yang boleh dilakukan oleh pawagam ialah :-

  1. Membuat pembesihan pawagam setiap minggu untuk memastikan pawagam sentiasa bersih dan bebas kuman.
  2. Membuat pemeriksaan suhu badan untuk semua penonton sebelum masuk ke pawagam.
  3. Menyediakan Sanitizer di pintu masuk pawagam dan mewajibkan semua penonton menggunakannya sebelum masuk.
  4. Menjual tiket secara berselang bagi setiap tempat duduk untuk memastikan Sosial Distancing dalam pawagam.
  5. Menyediakan tayangan selama 30 saat mengenai Covid-19 sebagai dokongan kepada kerajaan untuk kempen kesedaran berterusan.

Saya amat yakin dan berharap bahawa tahun yang mencabar ini bukan titik akhir untuk pemain dalam industri ini secara ekosistem. Dengan senarai produk yang banyak dan menunggu tarikh untuk penayangan saya percaya ianya boleh digunakan untuk kita memajukan pasaran dengan pendekatan yang kreatif. Namun pada akhirnya, saranan kerajaan dalam apa juga bentuk arahan dan pendekatan harus lah dipatuhi untuk memastikan objektif utama untuk memutuskan rantaian wabak ini akan berjaya.

 

ONH  ## StayAtHome – 5.4.2020

error: Content is protected !!