
Industri Pawagam Di Malaysia Yang Malang Dan Suram
(Artikel ini telah diterbitkan oleh portal KopiPlanet.com pada 9 Februari 2021)
Walaupun mungkin agak terlambat, tapi mungkin masih berpeluang untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2021 bagi industri pawagam dan kreatif. Tahun ini industri pawagam menyambut tahun baru dengan kemuraman di mana larangan untuk beroperasi dari penghujung tahun lalu bersambung hingga kini dan entah berakhir bila. Sudah kedengaran di sana sini beberapa pawagam dalam negara menuju ke arah penutupan operasi mereka. Situasi ini malah ada yang melibatkan antara pawagam terbesar dalam negara.
Kita asyik tertanya-tanya kenapa negara lain yang beribu pawagam seperti India yang telah membuka pawagam mereka 100%, rangkaian pawagam China berjaya mengutip RM 800 juta dalam beberapa hari tayangan pada akhir tahun lalu selain beberapa pawagam negara di Asia Tenggara telah memulakan operasinya tetapi kita di Malaysia yang hanya memiliki 160 pawagam masih kekal dibekukan? Tahukah kita bahawa industri pawagam ini telah mengutip kutipan kasar sehingga mencecah RM 1 billion dalam negara pada tahun 2018 dan 2019?
Industri mungkin faham bahawa kita sedang berdepan dengan pandemik dan berada pada tahap PKP yang kedua ketika ini tetapi persoalannya beberapa sektor boleh dibuka seperti sektor pengilangan dan pembinaan malah yang paling menarik perhatian perniagaan hiburan seperti karaoke dan kelab malam mendapat kebenaran. Jadi pawagam bagaimana? Kita tidak mahu menyentuh cara dan etika kerajaan dalam berhadapan dengan wabak ini tetapi apakah solusinya?
Pada bulan Disember 2020, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) telah datang sendiri di GSC Alamanda untuk melihat bagaimana pawagam beroperasi dengan SOP dan dikhabarkan semua dalam keadaan yang memuaskan, jadi apa kesudahannya? Sekadar tengok wayang? Bukan untuk menuding sesiapa sebab kami tahu pegawai-pegawai kerajaan ini ada peraturan dan syaratnya tetapi apa perkembangannya hingga kini? Mungkin anda semua akan mengerti bila status gaji anda pegawai kerajaan pada hujung bulan sama dengan kami yang dibawah ini.
Oleh itu, sebagai operator pawagam, saya memohon untuk kerajaan memberikan pertimbangan yang seadilnya kepada kami. Kami juga ada peranan untuk masyarakat. Di harap Pejabat Perdana Menteri dapat memberikan pertimbangan kerana saya percaya ini satu-satu saluran yang ada.
Doakan yang tebaik untuk industri pawagam di Malaysia.
