
PANDANGAN KHAS : PILIHANRAYA SABAH 2020 DAN ILMU POLITIK MODEN
Politik adalah satu ilmu yang kompleks. Berbeza dengan agama di mana agama adalah kefahaman mengenai kepercayaan, amalan dan ketuhanan, politik adalah ilmu mengenai kuasa dan kehidupan. Dalam era moden, apabila ilmu politik dikaitkan dengan jangkaan, statistik dan pembelajaran mengenai fakta maka ianya telah ditarafkan sebagai Sains Politik. Maka dengan itu, apabila kita berbahas dengan mengenai politik, asas dan ilmu politik mesti difahami untuk mengelakkan perbincangan dilingkari dengan emosi.
Ilmu politik ini boleh difahami dalam beberapa generasi tetapi untuk memudahkan kefahaman, kita boleh membahagikan kepada 2 skop besar. Yang pertama ialah ilmu politik yang membicarakan mengenai falsafah, wilayah dan pemerintahan. Ilmu politik kuno ini banyak didasari dari pembawaan politik lama seperti politik berdasarkan agama sehinggalah kepada amalan yang lahir dari sarjana serta tokoh-tokoh politik dari kegemilangan pemerintah lama seperi kerajaan Yunani, Rom dan sebagainya.
Dalam tamadun dunia moden, pemikiran kuno ini diguna-pakai untuk pemahaman ilmiah di mana kini, kita telah sampai ke satu tahap kedua untuk membicarakan konteks politik yang menyentuh soal kuasa dan impian. Di sinilah perlukan penghuraian berdasarkan polemik politik yang berlaku di Malaysia hari ini.
Ketika menuntut di Universiti Malaya pada era kebangkitan politik rakyat pada 1998 melalui slogan REFORMASI, mahasiswa pada masa itu amat teruja dengan politik. Tidak kira fakulti dan jabatan, kesedaran politik di kalangan mahasiswa ternyata segar. Inilah pengaruh isu kontemporari dalam mengerakkan kesedaran. Memang tepat kata-kata seorang tokoh politik pembangkang negara pada masa itu yang menyebut bahawa politik bukan persoalan fakta, politik adalah bagaimana untuk mengurus persepsi. Ini lah definasi politik kuasa yang bersifat kontemporari dan diamalkan kini.

Berbalik kepada ilmu politik, dalam usaha kita memahami senario hari ini, terdapat pelbagai definasi politik yang sering dijadikan perbahasan di menara gading. Antara falsafah sarjana politik yang terkenal adalah seperti Niccolò Machiavelli (1469-1527), Max Weber (1864 – 1920), Vladimir Lenin (1870 – 1924), Leo Strauss (1899 – 1973) dan lain-lain. Namun, saya tertarik dengan pandangan yang diutarakan oleh sarjana politik Amerika Syarikat Harold D. Laswell yang mentafsirkan politik moden hari ini mengenai konsep pendekatan untuk mendapatkan kuasa dalam bukunya “Who Gets What, When And How’ pada tahun 1937.
Jika kita memahami konsep melalui analisa teori Laswell ini, maka kita akan faham apa yang berlaku dalam senario politik Malaysia hari ini.
Ketika di Universiti Malaya, saya pernah terlibat dalam satu Wacana Kajian Politik dalam program bersama Jabatan Pentadbiran Dan Politik, Fakulti Ekonomi di mana hasil dari kajian itu merumuskan bahawa penerimaan kuasa politik konservatif melayu melalui penguasaan UMNO dalam Barisan Nasional akan terus kekal untuk beberapa dekad. Namun ianya akan berakhir apabila generasi baru mula bebas dan ingin melihat kuasa politik ini bukan lagi bertemakan perkauman tetapi lebih kepada pembangunan diri, ekonomi dan kebebasan sosial.
Bila tiba waktu itu, penguasaan politik bertemakan parti dan sistem yang dominan sudah tidak lagi relevan. Mungkin bukan hari ini, tetapi apa yang disebut itu sudah mula menampakkan wajahnya.
Dalam konteks di Malaysia, suasana sudah berubah. Wajah sebenar beberapa pimpinan utama yang menjadikan politik sebagai wadah untuk mendapatkan kuasa sudah semakin tersurat. Ingin saya tegaskan, berdasarkan penjelasan Laswell tadi, politik ini adalah pendekatan untuk mendapatkan kuasa. Kita kena faham bahawa parti politik adalah hanya wadah perjuangan, tema seperti reformasi, tranformasi dan lain-lain adalah hanya slogan dan kata-kata manakala ahli parti adalah pekerja sukarela kepada parti. Inilah realitinya. Politik penuh dengan retorik.
FENOMENA KATAK POLITIK ATAU PRINSIP PERJUANGAN DALAM POLITIK SABAH
Pada 31 Julai 2020, sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha, rakyat Sabah terpaksa bersedia untuk berkorban bagi berhadapan dengan Pilihanraya Negeri (PRN) 2020 yang diadakan bila-bila masa dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran. Rakyat Sabah masih terkial-kial untuk menerima berita ini walaupun ini adalah penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik negeri yang sudah tidak stabil sejak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman kembali menjadi pemain utama setelah berehat lebih kurang satu setengah tahun dari arena politik negeri Sabah.
Antara yang menjadi perbualan kini ialah amfibia Katak Politik yang kononnya punca menjadikan kemelut ini semakin kronik. Persoalannya apakah istilah Katak Politik ini menjadi satu kesalahan dalam politik? Berdasarkan teori Laswell, katak politik ini adalah sebahagian dari prinsip dan DNA politik moden. Ini kerana ianya berkait dan berbalik kepada pendekatan untuk mendapatkan kuasa. Jadi tiada apa yang perlu digusarkan.
Dalam konteks politik di Malaysia, kemarahan rakyat kepada pemimpin seperti ini mungkin ada asasnya. Ini kerana lanskap politik Malaysia yang berpaksikan kepartian, menjadikan amalan katak politik ini menjadi satu isu moral. Namun begitu, ada faktor yang membenarkan isu katak ini sebagai mulia dan berteraskan perjuangan. Penghuraiannya mudah, jika seseorang itu bertanding dalam pilihanraya dengan menggunakan status bebas tanpa parti maka secara praktikalnya dia bebas untuk memilih mana-mana parti untuk dijadikan pautan dalam perjuangan. Wakil rakyat ini tidak mungkin akan dicemuh oleh pengundi jika menjadi katak politik kerana lompatannya itu adalah berdasarkan kepada pendirian bebasnya bermula dari pilihanraya.
Sebagai contoh, bagi wakil rakyat Parlimen P203 : Lubok Antu di Negeri Sarawak, YB Jugah Muyang telah memenangi pilihanraya dalam PRU 14 atas tiket Bebas. Beberapa hari selepas itu, dia menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Namun selepas berlaku kemelut dalam PKR kebelakangan ini, dia mengambil keputusan untuk keluar dari PKR dan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Persoalannya adakah ini dianggap katak politik? Mungkin ya tapi ini jenis katak yang bermoral dan tiada sumpahan untuk wala’ kepada pimpinan parti. Alasannya mudah kerana pada peringkat awal lagi YB Jugah Muyang telah bersikap bebas dan dia bebas untuk memilih wadahnya. Apa yang dilakukannya ialah untuk rakyat yang diwakilinya. Tiada siapa boleh mempertikaikannya.
Jadi katak di Sabah bagaimana? Apakah apabila kita bertanding dengan satu logo parti maka kita harus patuh secara membabi buta? Sudah tentu tidak. Mereka juga boleh menjadi katak bermaruah seperti mana YB Jugah Muyang? Tapi bagaimana?
Pada tahun 1988, berlaku kemelut besar kepada parti agung melayu iaitu UMNO. Kemenangan Dr. Mahathir menewaskan Tengku Razalegh Hamzah dengan hanya 43 undi dalam Pemilihan UMNO bagi jawatan Presiden membawa kepada pengharaman UMNO oleh Hakim Tan Sri Harun Hashim pada masa itu. Akhirnya, Dr. Mahathir memecat beberapa pemimpin UMNO dan menubuhkan UMNO Baru.
Salah seorang yang dipecat pada masa itu ialah Datuk Shahrir Samad yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bharu. Dengan kelantangannya menentang pimpinan UMNO, dia dicabar untuk meletakkan jawatan. Bagi menyahut cabaran, Datuk Shahrir meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bharu dan kembali menamakan dirinya untuk bertanding di parlimen yang sama sebagai calon bebas dengan menggunakan lambang kunci. Datuk Shahrir menang dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Hj. Mas’ud Abd Rahman dan A Razak Ahmad dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Shahrir memperoleh 23,581 undi, Mas’ud (10,968) dan A Razak (2,260).
Ini lambang ketokohan dan keberanian politik. Walaupun tiada keperluan kerana asasnya dia dipecat tapi atas dasar kreadibiliti, dia meletakkan dirinya pada paksi yang betul dengan meletakkan jawatan yang patut dicontohi oleh semua wakil rakyat yang dipecat, digugurkan ataupun melompat parti.
Oleh itu, dalam konteks politik di Malaysia termasuk Sabah, tiada masalah jika ingin beralih arah atas apa juga alasan kerana itu adalah hak mereka sebagai wakil rakyat. Namun apa yang seharusnya dilakukan sepertimana yang ditunjukkan oleh Datuk Shahrir Samad, wakil rakyat yang ingin melompat ini seharusnya meletakkan jawatan dan kembali bertanding bersama wadah mereka yang baru. Barulah prinsip perjuangan, ketokohan dan keadilan itu dapat digambarkan dengan jelas.
Hujahnya mudah, jika kita bertanding menggunakan logo sesebuah parti, secara tidak langsung kita mempergunakan jenama parti itu untuk diri kita. Ini tidak lagi termasuk kos jentera parti, kempen-kempen pusat, pejabat dan kelengkapan yang sepenuhnya milik parti yang dipergunakan sepenuhnya untuk memenangkan kita. Oleh itu, jika kita ingin keluar dari jenama parti itu, serahkan semua pilihan kepada rakyat untuk memilih apakah pemilihan mereka berdasarkan kepada parti ataupun diri kita. Dan bertandinglah semula. Jika ini tidak dapat dipraktikkan maka sebab itu mereka layak digelar katak politik. Ini tidak adil kepada parti, tidak adil kepada ahli parti dan yang paling penting ini tidak adil kepada rakyat yang memilih mereka atas nama parti.
PEMBUBARAN DUN SABAH 2020
Wujud beberapa pandangan tentang tindakan Tuan Yang Terutama (TYT) memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah atas nasihat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Hj Afdal samada itu satu keperluan ataupun tidak. Ini kerana Tan Sri Musa Aman mendakwa telah memiliki sokongan seramai 33 anggota dewan untuk memberikannya majoriti mudah untuk membentuk kerajaan namun TYT Sabah telah membuat keputusan untuk membubarkan dewan.
Tanpa apa-apa prejudis kepada mana-mana parti politik, saya berpandangan keputusan yang dibuat oleh TYT Sabah adalah sangat tepat. Ini kerana jika perubahan kerajaan berjaya dibentuk dengan hanya majoriti satu atau dua kerusi, kebangkalian untuk berlaku lagi lompatan untuk membentuk kerajaan lain akan tetap ada. Jika ini berlaku, rakyat akan sentiasa menjadi mangsa kerana kerajaan akan lebih menumpukan kepada politik bukan lagi dasar untuk rakyat. Memang betul, kita sekarang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 namun kerajaan Singapura telah membuktikan berjaya menjalankan pilihanraya dalam musim seperti ini. Lagipun, sampai bila kita harus lari dari ketakutan pandemik ini. Hakikatnya, kita harus menguruskan virus ini dengan norma yang betul. Kuasa rakyat harus diberikan kepada rakyat.
Sebagai anak Sabah, saya sangat berbangga dengan keberanian anak negeri ini. Kita berani untuk memusatkan kuasa kepada rakyat untuk membuat keputusan. Pastikan kita sebagai rakyat mempunyai kuasa pemutus politik. Teori Laswell tadi di mana politik ini adalah “siapa dapat apa, bila dan bagaimana”, maka kita sebagai rakyat mesti mengambil peranan untuk meletakkan apa yang kita dapat, bila akan memperolehinya dan bagaimana kita sebagai rakyat dapat menikmatinya.
Berhenti menjadi hamba politik individu. Suara kita sebagai rakyat, adalah suara yang mempunyai rahmat.
Sekali lagi, tahniah anak Sabah. Kita sedang memberikan tunjuk ajar kepada pemuka politik peringkat pusat untuk jangan berlengah untuk serahkan semula mandat kepada rakyat barulah teka teki siapa dapat sokongan siapa .. akan terjawab.
Tahniah Rakyat Sabah ….
#ONH 2020 # MADE IN TAWAU
