Erti Persabahatan : Perkongsian Dari Catatan Yang Lepas

Mengisi masa lapang dan rehat yang panjang di Sabah memberikan sedikit ketenangan dalam diri. Saya seolah lupa apa yang pernah saya buat buat sebelum ini di Tanah Melayu. Hanya pada kesempatan ini, ada masa terluang.

Sebenarnya saya telah menulis dalam blog sejak 2010. Ketika itu saya menulis isu-isu tentang keluarga dan ada sedikit tentang politik. Dalam menyentuh perkara industri, hanya bercerita soal masa depan pawagam. Ketika itu saya menulis dalam blog peribadi https://oportunis.blogsopt.com. Bila selang beberapa tahun saya melihat ramai sahabat-sahabat saya menyokong maka saya mengaktifkan www.norshal.com pada tahun 2015. Ketika ini saya mula menulis isu industri tetapi masih menulis beberapa topik politik. Tapi sekali lagi portal ini terabai kerana ada masalah teknikal hingga ianya dapat diperbaiki tahun lalu namun catatan lama telah hilang. Maka saya kembali menulis pada tahun lepas. Sudah menjadi falsafah hidup saya yang percaya bahawa, seseorang yang alpa ialah apabila dia tidak mencatat ketika otaknya masih ingat. Maka saya akan terus menulis memandangkan usia semakin senja.

Rekabentuk portal saya pada tahun 2015 dan antara tulisan yang saya post

Saya membelek semula salinan catatan lama. Ada sebahagian tulisan saya sempat mebuat salinan. Ada satu tulisan mengenai tema SAHABAT. Tulisan itu sebenarnya ditulis pada tahun 2015. Tak silap saya, ketika itu budaya mengumpul sahabat-sabahat lama dalam kumpulan whats app menjadi satu aktiviti yang popular. Maka dalam kerancakan itu, tulisan ini terhasil. Sekarang, saya kongsikan sekali lagi kerana risau saya akan lupa.

Pengkongsian Semula Dari Catatan pada 7 November 2015 Tentang Pengertian Sahabat

Beberapa hari yang lepas dalam perbualan santai dalam satu group whats app yang paling aku hargai, kami berbincang santai mengenai pelbagai tajuk. Bila dalam keadaan yang rancak maka secara tetiba kami masuk dalam perbincangan yang emosi mengenai nilai sesebuah persahabatan. Kenapa aku kata ini perbincangan yang emosi? Kerana pada aku untuk kita memahami erti sesebuah nilai persahabatan itu, kita perlu menghayatinya dengan tekun dan cermat. Bukan mudah untuk memberikan satu tafsiran kalau kita tidak memahaminya kerana nilai sahabat ini adalah ranking paling tinggi dalam sesuatu hubungan tanpa ikatan selain keluarga, isteri atau suami.

Pada aku sebelum mencapai tahap anugerah sahabat, kita akan melalui berapa pengalaman yang membolehkan sesuatu hubungan itu matang sebagai sahabat. Secara naturalnya, sesuatu hubungan itu harus bermula dengan hanya kenalan yang bersifat biasa, kemudian menjadi rakan yang bersifat formal, dan kemudian menjadi teman yang bersifat sementara, barulah menjadi kawan yang mempunyai persefahaman sebelum mencapai tahap sahabat yang bersifat persaudaraan. Semua kriteria ini adalah kelangsungan kepada sesuatu perhubungan yang membentuk lingkaran dan jalinan kepercayaan dalam komuniti hidup kita.

Kita boleh melihat nilai hubungan dan sahabat ini melalui pengalaman orang ataupun mungkin melalui cerita di layar filem. Secara peribadi, sahabat bukan dicari kerana ianya akan datang sendiri melalui proses yang panjang. Dan jangan terkejut kalau sahabat kita sebenarnya kadang-kala bukan datang dari proses yang normal yang bermula dari kenalan biasa kerana mungkin sahabat kita lahir dari musuh kita yang ketat. Itulah keunikan hukum dunia.

Ambil pengajaran imaginasi dari filem hollywood, TROY sebuah filem epik arahan Wolfgang Petersen, kita melihat bagaimana seorang raja Yunani yang handal Achilles (lakonan Brad Prit) yang menganggap dia tidak pernah menjumpai kawan atau sahabat yang sejati dengannya sepanjang hidupnya hinggalah dia bersama raja-raja Yunani yang lain memimpin 40 ribu tentera Yunani menyerang Kota Troy yang terkenal utuh di mana dia berjaya membunuh Hector (Lakonan Eric Bana) lagenda tentera Putera Raja Troy yang akhirnya dia menyedari bahawa Hector lah sebenarnya yang boleh menjadi sahabatnya yang sejati dan dia berharap dapat berjumpa lagi bersama dalam kehidupan akan datang. Cerita ini memberikan gambaran kepada kita bahawasanya sahabat ini boleh lahir dari pelbagai keadaan dan biasanya pada lewat keadaan, atau mungkin sudah terlambat.

Kita memang tidak menyedari aspek ini kalau kita tidak melalui pengalaman-pengalaman kehidupan bersama. Sebab itu bila kita silap mentafsir dan beranggapan semua orang yang kita kenal adalah kawan atau sahabat, maka kita silap. Tidak semestinya orang yang boleh duduk dengan kita, minum dengan kita, belanja kita makan dan minum sekali sekala atau bawa kita berjalan bersiar-siar di masa lapang maka itu adalah kawan ataupun sahabat kita, tidak sama sekali. Itu bukan formulanya.

Biasanya anugerah sahabat ini apabila ianya melalui semua norma-norma jatidiri dan susah senang kehidupan walaupun mungkin ianya berlaku secara kebetulan. Kalau kita menonton filem animasi THE FINDING NEMO kita akan didedahkan dengan indikasi terbaik untuk mengenal erti sahabat. Dalam filem animasi yang digarap, ditulis dan diarahkan oleh Andrew Stanton ini, dibawah produksi Pixar dan diedarkan oleh Walt Disney Pictures pada tahun 2003, filem ini membawa dua tema yang besar iaitu kasih sayang dan tanggungjawab seorang bapa kepada anaknya dan yang kedua ialah kepercayaan pada usaha berterusan disamping nilai sahabat yang utuh.

Tetapi aku lebih berminat untuk melihat kepada nilai persabahatan yang cuba ditonjolkan. Berdasarkan ceritanya apabila sahaja Nemo, anak seekor ikan badut hilang setelah terperangkap dalam jerat nelayan, bapanya Marlin terus mengejar dan berusaha untuk mendapatkan semula anaknya. Bermula dari detik itu, Marlin berjumpa dengan pelbagai hidupan laut yang bersimpati dengannya seperti ikan yu, penyu dan lain-lain serta menawarkan pelbagai khidmat untuk mendapatkan anaknya termasuk merentasi lautan yang luas. Di sini kita didedahkan dengan sikap musuh, kawan, teman, rakan dan juga yang paling utama siapakah sahabat yang sebenarnya yang dijumpainya secara kebetulan semasa dalam pencarian anaknya. Bila kita menghayatinya maka kita akan faham pengertian yang besar bahawa sahabat ini bukan sahaja sekadar orang yang sanggup bersama dengan kita dalam apa jua keadaan tapi lebih dari nilai itu.

Namun begitu ada juga dalam sesuatu keadaan, tiada langsung nilai sahabat itu muncul walaupun hubungan dalam komuniti itu wujud. Setiap yang dilakukan adalah bersifat kontrak dan sementara ataupun dalam bahasa kasarnya berpura-pura. Ada tujuan yang diinginkan dan matlamat dibelakang tabir. Kalau kita berada dalam keaadan ini, harus lebih berhati-hati dan jangan adanya termakan dengan budi apatah lagi termakan dengan cinta kononnya. Biasanya ianya sinonim dengan budaya politik. Kalau ditafsir dalam filem, kita boleh melihat situasi ini dalam filem Pirates Of The Caribbean dalam apapun episod dan semua watak dalam filem ini selain hubungan keluarga langsung tidak ada nilai sahabat. Walaupun ditonjolkan ada yang sanggup menggadai nyawa namun keikhlasan langsung tidak pernah wujud. Hubungan dalam watak ini semuanya bersifat retorik.

Jadi bila seorang sahabat aku bercerita tentang masa lampaunya ketika di zaman persekolahannya di mana beliau sebenarnya adalah seorang yang hebat dan boleh dikatakan orang berada dari segi harta benda, ketika masa ketawa ramai yang mendampinginya. Ditakdirkan ketika berlaku sesuatu musibbah ringan maka Allah SWT tunjukkan kepada kita siapa di sekelilingnya, maka ia pun menyedari siapa sahabat sebenarnya. Dia berasa bersyukur kerana Allah SWT tunjukkan kepada dia ketika dia masih punya kemampuan untuk kembali berdikari, sekurang-kurangnya masih ada jalan untuk memperbaiki keadaan.

Sekadar berkongsi pengalaman diriku, ketika aku masih belajar di universiti sekitar 15 tahun yang lalu, aku selalu menumpang di rumah sahabat-sahabat ku di Gombak. Ketika itu aku hanya lah pelajar yang tak punya apa-apa. Nak kata pendapatan pun memang tak ada walaupun aku cuba untuk bekerja sebagai pekerja sambilan kat mana-mana restoran segera yang berdekatan dengan universiti. Namun disebabkan oleh jadual kadang ada kadang tak, jadi pendapatan tu berapa lah sangat.

Tumpang bercerita sikit, nak dikatakan aku ada lah seorang kawan yang pernah belajar dengan ku dulu di Sabah. Sepanjang kat universiti ketika tu, kalau makan kat luar, kira dia lah yang banyak yang tampung dari segi makan dan minum. Malah aku pernah juga rasanya meminjam duit darinya walaupun tak banyak untuk kehidupanku di kampus. Jumlahnya dalam RM 10, RM 20 dan RM 30 tu biasalah kalau tak silap aku. Walaupun penat berkerja dari Gombak ke Pelabuhan Kelang hampir setiap hari tapi untuk kawan-kawan dia tak berkira berbelanja. Kalau pergi ke kedai mamak Madura di Gombak atau mana-mana kedai tomyam untuk makan, memang dia sorang yang bayar untuk kami. Aku merekod kenangan ini hingga sekarang dan aku tak kan lupa sampai bila-bila. Pernah dalam satu keadaan, kami semua tak ada duit dan memang sesak lah bulan tu termasuk dirinya, dia akan pastikan makanan ada kat rumah sewa tu cukup. Dia akan pastikan sekurang-kurangnya telur, beras dan maggi mesti ada untuk pastikan kawan-kawannya makan. Walaupun aku rasa dia sendiri pun tak sedar untuk apa dia lakukan semua ini namun sikap kasih sayang terhadap rakan-rakan itu menjadi penentunya. Dan kini, walaupun aku tidak mampu menjanjikan apa-apa untuk seorang bernama sahabat, bila mana aku berjumpa dengannya, kalau melibatkan makan dan minum, aku bertekad tidak ada lagi untuknya berbelanja, aku akan menanggungnya. Sesungguhnya nilai sahabat tidak boleh dinilai dengan wang ringgit kerana sahabat bermaksud kasih sayang dan keihlasan.

Jadi kepada semua rakan-rakan, teman-teman, kawan-kawan dan para sahabat, mari lah kita bermuhasabah terhadap diri dan kehidupan kita agar kita dapat mengenali siapa di sekeliling kita. Sekadar renungan di akhir kata, aku pernah terdengar kata-kata falsafah orang-orang cina yang berkaitan dengan rahsia dengan menyebut “orang yang boleh meyimpan rahsia hanyalah orang yang mati” manakala seorang Raja Empayar Parsi kononnya pernah berkata “untuk mencari golongan sahabat di kalangan kita, cari orang yang boleh menyimpan rahsia kita”. Aku setuju dengan dongeng Parsi ini.

Catatan untuk para Sahabat Dihatiku ……

error: Content is protected !!