
Survival Filem Malaysia Impak Covid-19
Semakin hari kita melihat cabaran yang mendatang dalam industri perfileman negara memang amat menggusarkan. Dengan keadaan apa yang dipanggil sebagai amalan “New Norm” sedikit sebanyak memberikan kesan kepada industri ini dalam setiap struktur ekosistem perfileman. Bermula dari aktiviti penggambaran, pemasaran dan hingga lah kepada penayangan filem di pawagam, ianya telah terkesan dan secara langsung impaknya kepada ekonomi industri dan negara.
Perbincangan, wacana, forum dan aktiviti keilmuan telah dilakukan oleh komuniti industri untuk menelaah keadaan ini dan bagaimana episod selanjutnya dalam pasca Covid 19 ini. Yang pastinya apa yang berlaku selepas ini adalah episod paling mencabar untuk memastikan kelangsungan ekonomi dalam industri ini.
Hingga setakat ini, beberapa filem yang sepatutnya dijadualkan ditayang di pawagam bermula dari bulan Mac hingga hujung tahun ini telah pun menarik diri dari jadual tayangan umum. Tarikh untuk kembali ditayangkan masih belum diputuskan. Semua pihak masih belum mendapat punca ilham tentang keputusan pada masa akan datang. Semuanya masih belum jelas.
Umumnya kita faham kenapa perkara ini berlaku. Bukan mudah untuk penerbit membuat keputusan untuk menangguhkan tayangan apatah lagi pelaburan terpaksa tergantung tanpa jangkaan pulangan yang pasti. Tapi aspek ini harus dilihat dalam konteks yang besar dan menyeluruh. Isu ini bukan hanya sekadar melihat kepada waktu yang sesuai untuk penayangan semula tetapi harus dilihat kepada kekuatan industri itu sendiri dalam membentuk rantaian sebelum filem tersebut ditayang kepada umum melalui platform pawagam. Ini bermaksud, pemahaman kepada ekosistem ini sangat penting sebelum sebarang keputusan dibuat.
Untuk memahami dengan lebih khusus, industri sebenarnya sedang bermain dengan persekitaran ekonomi masyarakat dan “jentera” industri itu sendiri. Dalam menentukan ekonomi masyarakat ini, ianya banyak bergantung pula pada polisi dan peranan kerajaan. Apabila kita terdengar, kerajaan mengeluarkan pandangan berbentuk nasihat dan panduan untuk sebolehnya mengelak perkumpulan sosial, ianya jelas memberikan kesan langsung kepada persepsi masyarakat untuk menonton di pawagam. Dan jika ini kekal menjadi pedoman kepada umum maka selagi itu lah sokongan masyarakat dalam pawagam kekal lemah. Dalam erti kata yang lain, ianya bukan masa yang sesuai dengan sebarang penayangan semula kerana ianya pasti merugikan. Ini teori mudah.
Dalam satu sudut yang lain, andai persepsi masyarakat berjaya ditanggani dan ada petunjuk bahawa penonton kembali berminat menonton di layar lebar, kondisi pawagam pula harus di ambil-kira kerana mungkin sebahagian rangkaian pawagam boleh tutup tikar disebabkan tekanan operasi ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini membawa kepada kesan platform yang lemah dan memungkinkan wujud tidak keseimbangan kepada jentera industri ini dengan pemintaan pasaran. Sekali lagi ianya tidak memberikan persekitaran yang baik untuk industri. Jadi ini antara permasalahan dan cabaran yang harus di ambil-kira dalam sifir matematik cabaran perfileman pada pasca Covid-19 ini.
Apa yang lebih ketara ketika ini kita tidak ada rujukan tepat untuk merumus formula yang betul berdepan pandemik seperti ini sebagai persediaan kita dalam konteks industri perfileman di Malaysia. Tapi ini bukan alasan untuk kita tidak menyediakan apa-apa persediaan untuk menghadapinya. Memang betul kita boleh melihat formula barat untuk diguna-pakai tetapi harus kita faham setiap industri yang ada dalam sesebuah negara akan dibayangi dengan gelagat masyarakatnya. Dalam konteks Malaysia, kita mungkin melihat kesukaran penerbit-penerbit baru yang berhadapan dengan kekangan kewangan dan mengharapkan pelaburan cepat melalui tayangan pasaran tetapi dengan apa yang berlaku, ianya tidak menjadi seperti yang dirancang.
Cuma apa yang boleh diusahakan, sepertimana penyatuan dan kefahaman dalam semua ekosistem perfileman, untuk membuat persediaan dari pelbagai aspek sebelum meletakkan filem tersebut untuk pasaran komersil. Dalam aspek ini, peraturan yang kita sedia ada kini mungkin tidak mampu menyokong sepenuhnya untuk membawa hasrat ini kerana apa yang perlu ialah satu persetujuan bersama di antara penerbit, pengedar dan pawagam untuk membawa filem kita ditayangkan dengan norma persetujuan baru yang diluar dari apa yang kita fikirkan dalam tempoh yang lepas. Hanya dengan cara ini, kita mampu melihat hasilnya diluar kotak norma amalan biasa. Ini juga termasuk mewujudkan formula wayang umum bagi luar bandar dengan sokongan kerajaan.
Mungkin pandangan saya terkhilaf tetapi saya melihat ini boleh diberikan pertimbangan.

Dalam membincangkan isu ini, pada 8 Mei 2020 bersama Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) kami berbicara mengenai isu Survival Filem Malaysia Impak Covid-19 : Sebelum, Semasa & Selepas. Program wacana maya ini yang diseliakan oleh Setiausaha Kehormat PFM, En Zahrin Aris dengan tiga orang panel iaitu ACK (K) Datuk Dr. Yusof Haslam, Tuan Haji Burhanuddin Md Radzi dan saya sebagai panel ketiga, telah merumuskan perkongsian mengenai survival filem kita mengikut teori masa. Sesi yang berlangsung selama 1 jam ini, saya anggap sebagai perbincangan akademik untuk pengkongsian kita dan demi industri kita.
Secara rumusannya melalui wacana ini, kami sepakat mempercayai bahawa tempoh ini adalah satu tempoh yang sukar namun industri harus tekad bersabar untuk terus mendapatkan keyakinan masyarakat untuk kembali menyokong filem kita. Dengan jangkaan masa yang tiada kepastian untuk suasana kembali seperti biasa, keseluruhan sistem pasaran harus di olah semula dengan melihat kepada perubahan polisi tayangan, strategi pemasaran, susun atur tayangan pawagam, tiket jualan pawagam, kerjasama bersama stesen-stesen TV berbayar serta pakej-pakej pasaran jangka panjang. Ini akan mengambil-kira mood dan selera masyarakat yang amat berbeza terhadap sokongan terhadap filem kita di sebalik tuntutan dan keinginan yang sama dalam teori pasaran filem tempatan.

Kita amat berharap, pencapaian pada tahun 2019 bukan penamat kepada kecemerlangan ini walaupun kita kena akui tahun 2020 adalah tahun kemalapan untuk industri perfileman kita tetapi saya percaya graf ini akan kembali ke landasan asal dan menyaingi pencapaian tahun lepas bermula selewatnya penghujung tahun ini. Insya’ Allah kita terus berusaha dan berdoa.
Setiap perbezaan pandangan adalah untuk diraikan.
#ONH#StayAtHome #2020
