
Industri Pawagam Di Malaysia : Ekosistem Yang Perlu Diberikan Perhatian
Umum mengetahui bahawa industri perfileman bukanlah satu industri yang kecil malah sentiasa menjadi tumpuan masyarakat. Mengikut Billboard.com yang memetik laporan Hollywood Reporter, kutipan untuk filem-filem pecah panggung barat dalam pasaran utama pada 2019 mencecah USD 42.5 billion berbanding kutipan kasar 2018 sebanyak USD 41.7 billion. Tidak terkecuali di Malaysia, dengan kapasiti lebih kurang 160 pawagam di seluruh negara, kutipan kasar pawagam Malaysia pada tahun 2019 direkodkan sebanyak RM 1.08 billion dengan jumlah penonton seramai 77.78 juta orang berbanding kutipan kasar RM 1.04 billion dengan jumlah penonton 77.31 juta pada tahun 2018. Statistik kenaikan ini adalah sentiasa meningkat dari tahun-tahun sebelumnya dan ini menunjukkan prestasi sihat dari sokongan pasaran pada industri ini.

Namun sudah pastinya statistik itu akan berubah dengan menjunam ke bawah pada tahun 2020 berpunca dari kejutan sosial yang menghadkan pergerakan akibat penularan wabak KoronaVirus 19 atau Covid-19 diseluruh dunia. Akibat kekangan sosial ini, maka secara tidak langsung, ianya memberikan kesan kepada industri pawagam secara drastik. Ini adalah prestasi terburuk industri perfileman dunia selepas era 80 an yang menyaksikan banyak filem barat yang berprospek tinggi ditunda tayangan ke tahun 2021 malah sebahagiannya ke tahun 2022.
Persoalannya sekarang bagaimana selepas ini? Saya telah menulis sebelum ini beberapa isu yang mempunyai kaitan yang sama tentang ramalan yang bakal dihadapi oleh industri pawagam akibat pandemik Covid-19 ini. Pakar-pakar industri perfileman barat sedang berlumba-lumba mendapatkan data pasaran untuk membuat ramalan mengenai apa kemungkinan yang akan berlaku dan dalam masa yang sama mencuba untuk optimis akan kebangkitan industri ini melalui beberapa pendekatan yang sistematik.
Saya tertarik kupasan yang dibuat oleh pemerhati industri melalui segmen budaya dalam laman sesawang BBC Film – Culture In Quarantine bertajuk “Why Cinemas Will Bounce Back From The Coronavirus Crisis” pada 6 April 2020 oleh Kaleem Aftab yang mengupas sejarah pawagam yang pernah terkesan malah berhadapan dengan pengalaman yang lebih dasyat dari apa yang dialami kini. Diibahaskan malah sekitar tahun 1918 – 1920, satu pandemik yang dasyat yang bermula di eropah yang dikenali sebagai Spanish Flu yang mengakibatkan jutaan manusia terkorban dan dalam masa yang sama, pawagam-pawagam ketika itu juga diarahkan tutup. Namun industri pawagam berjaya keluar dari kemelut selepas Perang Dunia Pertama dan terus berkembang hingga ke hari ini. Ini adalah sebahagian dari rentetan peristiwa dari pengaruh global yang memberikan kesan kepada industri pawagam namun kuasa dan semangat yang ada dalam industri pawagam itu sendiri yang sememangnya sinonim dengan masyarakat menjadikan ianya mempunyai jalan penyelesaian untuk terus menjadi medium hiburan dan informasi masyarakat.
Yang menjadi perbahasan kini, apakah sejarah lampau boleh dijadikan ukuran dalam era moden ini untuk memberikan motivasi kepada industri pawagam ini untuk terus mendapat sokongan masyarakat sekaligus menyokong perkembangan industri filem di dunia? Ini yang memerlukan kefahaman yang melihat kepada peranan industri ini kepada masyarakat secara umum.
Mengambil istilah ekonomi secara umum, suatu produk itu akan kekal dalam pasaran apabila pengeluaran mempunyai keseimbangan dengan permintaan. Dalam industri pawagam ini, produk yang menjadi taruhan pasaran adalah filem manakala pawagam adalah mediumnya. Selagi produk filem ini terus dihasilkan selagi itu lah pawagam itu diperlukan.
Mungkin kita tertanya apakah teknologi masa kini terutama media tayangan alternatif yang dilaksanakan secara talian seperti Video On Demand (VOD), Library Channel seperti Netflix, Iflix dan sebagainya yang membolehkan kita menonton filem secara bebas dan menjadikan rumah kita pawagam peribadi bakal menamatkan sokongan masyarakat terhadap pawagam. Melihat kepada persoalan tersebut, maka ini pandangan CEO Rangkaian UK Carzon, Philip Knatchbull dalam artikel di atas “It’s impossible for a home screening to match the technical quality of a film projected in the cinema – and there is also the indefinable adrenaline rush that comes from viewing a film in a large group, with audiences feeding off each other to create an intoxicating atmosphere as Bond gives chase, Daniel Blake starts protesting or Marcello Mastroianni raises an eyebrow. By the same token, most directors would continue to affirm that they first and foremost want their films seen in a cinema because it’s a unique experience”.

Inilah rahsia yang menjadikan pawagam sebagai unik dalam masyarakat. Tidak tertelan oleh perkembangan teknologi, pawagam sentiasa berkembang seiring dengan teknologi tayangan. Hakikatnya, pawagam akan terus relevan kerana ianya mempunyai intipati masyarakat yang mempunyai kelangsungan dari generasi ke generasi. Perkara ini juga dikongsi oleh pengkritik filem Owen Gleiberman dalam tulisannya bertajuk “Why I Miss Movie Theaters, and Why Nothing Can Replace Them” dalam ruangan MSN Entertainment – Variety pada 13 April 2020 “I go to the movies for a great many reasons, first and foremost to experience fantastic films. One essential reason I go to the movies, though, is to escape. And that sometimes means…escaping my home. But it’s all to get to a different place that I call home. A place where it’s dark and safe and anonymous, but where that safety affords me the privilege of luxuriating in something adventurous or even dangerous. A place where I’m inside myself, but also out there in the universe”
Namun ini tidak bermakna pawagam boleh berdiri dengan sendiri dan keluar dari kemelut yang melanda secara global. Dalam gejala yang melanda dunia akibat penularan wabak Covid-19 ini yang bermula pada November 2019 hingga kini, beberapa rangkaian besar dunia mengumumkan penutupan operasi secara besar-besaran kerana kekangan kewangan yang kritikal. Rangkaian terkemuka dunia seperti Regal Theatres dan AMC Theatres telah membuat kenyataan penutupan operasi dalam skala yang besar dan dijangka akan menghadapi kesukaran untuk kembali dalam tempoh terdekat. Senario ini berlaku di seluruh dunia termasuk lah rangkaian pawagam di negara kita.
Di Malaysia, kenyataan rasmi penutupan operasi pawagam sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) yang dianggotai oleh 5 rangkaian utama GSC, TGV, MM2, MBO dan LFS yang menguasai lebih kurang 80% rangkaian pawagam di Malaysia jelas menunjukkan bahawa industri ini antara industri yang terkesan sama seperti negara-negara lain di dunia. Sudah tentu untuk pawagam-pawagam ini kembali ke landasan asal pasti akan mengambil masa yang agak lama. Jangkaan yang dibuat oleh komuniti industri, antara cabaran terbesar yang bakal dilalui oleh industri pawagam ialah yang Pertama kesediaan pengedar filem untuk membenarkan filem-filem untuk ditayangkan akibat risiko sokongan suram yang tinggi dan yang Kedua pastinya persepsi masyarakat yang amat berhati-hati memandangkan menonton di pawagam adalah di bawah kategori perkumpulan sosial yang memungkinkan wabak Covid-19 ini boleh menjangkiti masyarakat.
Dengan itu, sokongan ekonomi adalah amat diperlukan bagi membantu pengusaha pawagam ini untuk kembali beroperasi seperti biasa. Kita tidak boleh membiarkan pawagam terkapai-kapai mencari daratan untuk memastikan kelansungan operasi. Dengan kos pembinaannya yang besar dalam anggaran RM 8 ke RM 10 juta bagi purata pembinaan pawagam 6 dewan tayangan, risiko penutupan akan menyebabkan kebangkalian untuk kembali beroperasi adalah rendah. Ini tidak termasuk cabaran bagi pawagam-pawagam persendirian atau indipendent cinemas yang dianggarkan sebanyak 30 lokasi di seluruh negara yang mungkin mempunyai risiko penutupan yang tinggi. Dan jika ini berlaku maka kesannya bukan sahaja pada perkembangan pawagam itu sendiri malah kepada industri perfileman negara kerana kekurangan medium tayangan.
Melihat kepada perkembangan ini, seperti yang dilakukan oleh beberapa negara di dunia, satu pelan perancangan harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk memastikan industri ini terus subur dan mampu untuk berperanan dalam ekosistem perfileman negara.
Pertama, paling utama ketika ini, kerajaan melalui agensi yang berkaitan harus menyediakan pelan ransangan perniagaan dan pakej yang bersesuaian. Ini tidak bermakna ianya hanya kepada permintaan ransangan tunai langsung untuk pengusaha pawagam ini tetapi mungkin dalam bentuk pakej bantuan jangka panjang seperti pinjaman atau dana pembangunan bagi pawagam yang terkesan dalam tempoh ketika ini. Seperti juga industri lain, pawagam tetap terikat kepada bayaran sewa dan kos jagaan peralatan yang tinggi di mana agensi kerajaan boleh menjadi fasilitator untuk memudahkan pembayaran ini dengan pelan polisi penangguhan bayaran yang melibatkan bank atau pemilik premis. Setidak-tidaknya, beban kos operasi mampu dikawal memandangkan selepas ini apabila pawagam kembali beroperasi dan filem-filem kita akan masuk ke pawagam, ianya dapat memberikan ruang selesa kepada susun jadual tayangan dan operasi dapat kekal seperti biasa.
Kedua, agensi kerajaan harus membantu dengan mengeluarkan sejumlah dana untuk membantu filem-filem tempatan yang akan ditayangkan selepas ini dalam aspek pemasaran dan promosi. Mesej harus disampaikan kepada masyarakat tentang usaha pawagam dalam mematuhi garis panduan dalam norma baru selepas kawalan bagi meningkatkan keyakinan penonton terhadap keselamatan ketika berada di pawagam.
Ketiga, seperti yang saya sebut dalam penulisan terdahulu, ini masa terbaik untuk kerajaan memberikan beberapa pengecualian peraturan yang melibatkan kewangan antaranya Cukai Duti Hiburan 20% dari kutipan kasar jualan tiket untuk dikembalikan kepada penerbit dan pawagam. Dengan pengecualian ini, semua ekosistem perfileman akan dapat menggunakan kutipan ini untuk menampung kos-kos yang tertunggak akibat kelembapan ekonomi ini.
Majoriti dalam komuniti industri ini percaya bahawa industri pawagam ini akan kekal bertahan dan berjaya dalam mendepani cabaran ini pada masa akan datang seperti yang disebut oleh Philip Knatchbull “Of course! Cinema has survived wars, pandemics and a host of technological changes. There is something elemental about gathering together in a dark room to watch a great film. I’m sure the reopening of cinemas will be a cause for a huge celebration and we’ll see audiences, desperate to get out of the house, flocking back to watch films on the big screen together.”

Namun untuk mencapai tahap yang disebut ini, pawagam perlukan sokongan ekonomi untuk membantunya bertahan dalam tempoh waktu yang kritikal.
Sekadar pandangan peribadi
Onn Norshal Hamzah
#StayAtHome
