Pacsa PKP Covid-19 : Pelan Saranan Kerjasama Ekosistem Perfileman

Sejarah dunia sedang tercipta dalam era moden ini di mana hampir lebih separuh dari populasi dunia sedang menjalani amalan kawalan pergerakan dalam rumah dengan membataskan pergerakan serta hampir memutuskan aktiviti sosial dalam masyarakat. Ini berlaku kerana dunia dikejutkan dengan satu pandemik wabak KoronaVirus 19 atau Covid-19 yang langsung tidak dijangka dan hanya hadir beberapa bulan pada penghujung tahun 2019 dan terus mengikat dunia pada awal tahun 2020. Sehingga kini, masyarakat dunia yang terkesan positif dengan wabak Covid-19 ini sudah mencecah 2 juta manusia dan lebih kurang 160 ribu kematian hanya kurang 6 bulan ianya dikesan.

Dan Malaysia sahaja hingga tarikh artikel ini, virus ini telah menjangkiti 5,482 orang dengan pesakit yang pulih seramai 3,349 orang dan 92 kematian direkodkan. Untuk melihat dengan tepat, angka ini tidak harus dilihat dalam konteks perubatan semata-mata tetapi perlu ditaksir dengan kanta yang lebih progessif terutama dalam aspek ekonomi dan sosio-budaya.

Saya percaya bahawa kerajaan bagi setiap negara telah menjalankan peranan yang terbaik untuk menjaga kebajikan masyarakatnya termasuk Malaysia. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita laksanakan hari ini, pelbagai imbuhan dan insentif telah disediakan oleh kerajaan walaupun mungkin ianya ada kekurangan namun amat memadai untuk kita bertahan dan menjalankan kehidupan dalam tempoh kawalan.

Persoalannya sekarang, apa yang terjadi selepas PKP Covid-19 ini dan apakah perancangan kita untuk kembali menstabilkan keadaan selepas tempoh ini? Dalam aspek ini, kita fokus dalam pasca pembangunan ekosistem industri filem negara.

Kita harus memahami bahawa dalam industri perfileman di Malaysia mahupun di seluruh dunia, ada tiga ekosistem perfileman utama yang menggerakkan industri ini dari mula sehingga ke fasa akhir untuk masuk ke pasaran. Tiga ekosistem utama perfileman ini adalah penerbitan, pengedaran dan pemameran. Untuk memastikan satu produk dalam industri itu berjaya dalam pasaran, ketiga-tiga ekosistem ini harus berada dalam satu formula bagi memastikan produk tersebut berada dalam satu pakej yang lengkap.

Untuk memahami sifat ekosistem perfileman ini dan mengapa ianya satu rantaian yang saling memerlukan, elok kita lihat secara ringkas ciri-ciri nya secara umum. Sebagai ekosistem yang pertama, ekosistem penerbitan adalah ekosistem yang paling kreatif dan mempunyai gelagat nya yang tersendiri. Di sini lah kita melihat komuniti industri bermula dari pekerja depan dan belakang tabir seperti pelakon, pengarah, penulis skrip, jurukamera, pengurus produksi, editor hinggalah kepada pekerja umum, pakar peralatan, keselamatan dan lain-lain. Ketua kepada ekosistem ini biasanya dikaitkan dengan penerbit atau produser yang berperanan sebagai majikan ataupun pemilik produk. Sehinggalah produk filem itu siap, peranan ekosistem pengedaran akan mengambil alih.

Sebagai ekosistem kedua dan pertengahan, ekosistem pengedaran adalah bidang yang sebenarnya sangat utama. Pengedaran lebih dikaitkan dengan aliran perancangan ekonomi dan perniagaan, amat kurang penglibatan anggota kreatif dari industri ini. Namun apa yang berlaku dalam konteks di Malaysia, ekosistem ini amat jarang diberikan perhatian malah ada kalanya sentiasa diabaikan. Sejujurnya saya berpandangan bahawa sebahagian penerbit di Malaysia, tidak melihat ekosistem ini suatu yang kritikal walhal peranan pengedaran filem harus memainkan peranan ketika sesuatu filem tersebut masih diperingkat awal pembikinannya. Samada komuniti industri kita terlepas pandang atau tidak, seperti disebut tadi, ekosistem pengedaran filem kurang mendapat perhatian di Malaysia. Buktinya, hanya ekosistem pengedaran filem di Malaysia tidak mempunyai persatuan dan amat kurang dijadikan topik perbincangan dalam forum wacana perfileman dalam negara. Mungkin tidak terlalu ekstrem untuk saya nyatakan, kegagalan sebahagian filem kita di pasaran kerana kerana kurang sensitiviti terhadap ekosistem ini.

Peranan utama ekosistem pengedaran filem berkait rapat dengan hubungan dengan pemamer dalam ekosistem pemameran. Dalam ekosistem ini, agensi yang menjalankan pengedaran filem mempunyai peranan kritikal dalam aspek pemasaran dan promosi. Agensi pengedaran inilah yang mempunyai data pasaran, prospek penontonan, sasaran kawasan dan ilmu demografi untuk memahami gelagat penonton serta cabaran yang bakal dihadapi. Sebagai contoh, ketika musim pra dan pasca Covid-19, dengan kedudukan susun jadual pawagam masih tidak menentu, agensi pengedaran adalah yang bertanggungjawab terhadap filem-filem mereka untuk membuat pelan bertindak untuk berhubung dengan sektor pemameran bagi memastikan filem-filem mereka bersedia dengan baik berhadapan dengan cabaran ini. Dengan melihat gelagat perfileman barat, agensi pengedaran mereka yang berpengkalan di Hollywood telah memainkan peranan utama ketika ini malah agensi pengedaran mereka mempunyai cawangan hampir di seluruh dunia untuk memastikan sasaran perniagaan mereka berjaya. Berbalik kepada Malaysia, samada suatu filem ini diterbitkan untuk tujuan komersil ataupun tidak, peranan agensi ini dalam ekosistem pengedaran adalah sangat utama untuk kelangsungan berhadapan dengan pasaran.

Dan sudah tentu lah, sebagai ekosistem yang terakhir, sektor pemameran adalah sektor untuk menjana hasil berpandukan kepada permintaan pasaran dan aktiviti perniagaan. Dan ini yang harus difahami di mana pemamer hanya akan berurusan dengan pengedar filem secara praktikalnya dan bukan dengan penerbit filem. Walaupun mungkin di Malaysia wujud situasi penerbit juga adalah pengedar filem tersebut namun dalam kamus operasi pemamer, urusannya adalah bersama pengedar filem. Sebab itu disebut tadi, pengedar filem adalah entiti utama dalam hubungan ekosistem ini. Dan peranan pemamer pula juga sangat penting kerana ekosistem ini adalah ekosistem yang terakhir yang akan berkomunikasi dengan pasaran. Jika kita ambil teladan dengan melihat cabaran negara berdepan dengan wabak Covid-19 ketika ini di mana para doktor, jururawat, PDRM dan ATM dilabel sebagai barisan depan dalam struktur tersebut, maka dalam industri perfileman, ekosistem pemameran adalah barisan depan dalam membawa produk industri berdepan dengan pasaran. Oleh itu, falsafahnya mudah, jika pemamer dapat menjiwai produk filem yang dipamerkan itu sebagai sebahagian dari diri mereka, maka produk filem tersebut memiliki formula yang lengkap berdepan dengan pasaran.

Untuk mendapatkan formula ini maka persefahaman dan gabungan ketiga-tiga ekosistem dalam satu rantaian kebersamaan, adalah satu keperluan yang kritikal.

Saya harus bersifat jujur dalam memberikan pandangan dalam konteks perfileman kita di Malaysia. Penjiwaan saya untuk memahami gelagat industri kita di Malaysia, kerjasama ekosistem utama ini ternyata sangat minima dan hanya dipraktikkan oleh jenama-jenama besar dalam industri. Maka inilah cabaran kita dalam menghadapi senario akan datang dalam pasaran industri perfileman negara.

Maka dengan itu, sepertimana industri-industri utama dunia yang terkesan dengan cabaran ekonomi, kita harus mengambil langkah proaktif untuk kembali menyusun ekosistem perfileman kita sebagai langkah awal untuk jangka panjang sejurus tamat PKP Covid-19 ini. Hanya dengan formula penyatuan ekosistem ini maka kita dapat membuat persediaan membawa filem-filem kita berdepan pasaran. Penyatuan ini harus bermula dengan persefahaman, diskusi, pengkongsian maklumat, kefahaman terhadap risiko pasaran serta ilmu gelagat penontonan yang mampu memandu produk filem kita dalam landasan yang betul bukan sahaja untuk pasaran domestik malah juga luar negara.

Idea ini sebenarnya sudah mula diusahakan pada peringkat awal melalui usaha penjenamaan Skim Wajib Tayang FINAS 2005 kepada Skrin Malaysia 2020 (MySKRIN). Penjenamaan ini yang diilhamkan sejak awal 2019 hasil perbincangan serta maklum balas penerbit dan pemamer filem yang terlibat dalam syarat wajib tayang dengan lebih memfokuskan kepada usaha persepaduan, komunikasi dan strategi kebersamaan berdepan dengan pasaran. Peranan semua ekosistem diberikan keutamaan selain menitik-beratkan aspek pemasaran filem dengan penglibatan semua yang berkenaan. Dan penjenamaan ini akan membuka ruang luas membenarkan peraturan ini berkomunikasi dengan kemajuan industri terutama cabaran teknologi moden.

Apa yang pasti, matlamat akhir yang harus diberikan tumpuan oleh komuniti industri termasuk agensi yang berperanan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) adalah untuk memastikan kesemua ekosistem ini dapat disatukan dan digerakkan dalam satu sistem rantaian yang kemas dan mempunyai kelangsungan irama yang sama sehingga ke fasa terakhir. Hanya dengan formula ini, produk filem-filem kita berpotensi tinggi berjaya dalam pasaran. Industri perfileman barat telah berjaya membuktikan formula ini berjaya sejak sekian lama.

Maka dengan itu, saya melihat inilah masa terbaik untuk kita mulakan dan membentuk formula ini selepas PKP Covid-19 berakhir. Kita mempunyai tanggungjawab dan harus bersama untuk pastikan semua filem kita berjaya.

Sekadar pandangan peribadi.

 

Onn Norshal Hamzah

#StayAtHome

 

 

 

error: Content is protected !!