
FINAS Dan Peranan Sebagai Kordinator Industri
Hari ini, 8 April 2020, negara kita sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tujuan membendung penularan wabak Koronavirus 19 atau Covid-19 yang memberikan kesan kepada pelbagai industri termasuk industri kreatif atau spesifikasinya dalam industri perfileman negara. Ketiga-tiga ekosistem utama dalam industri yang melibatkan sektor penerbitan, pengedaran dan pemameran terjejas teruk lantaran perintah untuk mengelakkan aktiviti sosial berkumpulan dan aktiviti umum.
Menjurus kepada perkembangan ini, kesan dari lumpuhnya aktiviti ekonomi dalam tempoh ini, ianya memberikan kesan langsung kepada komuniti industri yang meletakkan profesion ini sebagai punca pendapatan utamanya. Kita harus sedar bahawa, bukan mudah untuk kita menyesuaikan diri dan mengubahkan punca pencarian dalam sekelip mata kerana bidang ini adalah bidang profesional sama seperti bidang industri yang lain. Maka dengan itu, tidak hairan lah kita kedengaran laungan dan permintaan dari pemain industri untuk memohon bantuan kerajaan untuk menampung hidup mereka yang sangat terkesan akibat perintah kawalan ini. Melihat dari aspek kemanusian, ini adalah hak mereka untuk bersuara kerana hanya mereka yang tahu masalah mereka namun harus diingat bahawa kerajaan juga telah melakukan yang terbaik untuk semua komuniti industri dan bersifat adil kepada semua rakyat melalui Program Ransangan Ekonomi dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini.
Maka dengan kecelaruan di antara rayuan dan pemintaan bantuan kerajaan, maka kita melihat wujud Sengketa Maya di antara Netizen dan komuniti industri yang wujud dari salah faham terhadap pendekatan dan maklumat sedangkan hakikatnya kita harus menyedari semua yang terlibat dalam sengketa ini, adalah sebahagian dari masyarakat, saling memerlukan dan mempunyai peranan dalam negara.
Di sinilah sebenarnya kita lupa akan peranan dan objektif wujudnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebuah agensi kerajaan dibawah Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM).
FINAS ditubuhkan pada tahun 1981 di bawah Akta 244 FINAS di mana antara tujuan nya untuk membangunkan sosio-ekonomi dan kemajuan dalam sektor utama dalam industri filem negara. Sudah tentu secara tidak langsung FINAS mempunyai peranan dalam menjaga hak dan kebajikan ekosistem serta komunitinya dalam industri ini. Dalam menjalankan aktivitinya, FINAS mempunyai pelbagai program dan kuasa untuk menjaga serta mewujudkan interaksi agensi dengan ekosistemnya seperti Skim Wajib Tayang, Dana Perfileman, Program Latihan, FIMI, Perlesenan dan lain-lain. Dan tidak terkecuali, FINAS juga terlibat dalam program-program kebajikan yang menitikberatkan kepedulian komuniti dalam industri jagaannya.
Pun begitu, harus difahami, FINAS adalah agensi kerajaan yang terikat dengan tatacara dan segala aktivitinya terikat kepada proses dan prosedur untuk dipatuhi.
Jadi kita berbalik kepada senario hari ini di mana pada pandangan saya, untuk menyelesaikan kekalutan persefahaman ini, FINAS harus kembali kepada peranannya sebagai kordinator kepada industri ini. FINAS akan dan harus menumpukan kepada usaha-usaha fokus untuk menjaga kebajikan komunitinya. Sebagai sebuah agensi kerajaan dengan melaksanakan peranannya dan dalam tempoh pasca Covid-19 ini, komuniti industri perlu melihat bahawa :
- FINAS berperanan menjadi platform untuk mengumpulkan maklumat dan membuat ringkasan dari apa yang diluluskan oleh kerajaan dalam pakej Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan bagaimana ianya mempunyai kaitan serta manfaat untuk industri ini untuk diterjemahkan kepada komuniti industri.
- FINAS berperanan menjadi badan rujukan kepada komuniti industri untuk sebarang pertanyaan yang melibatkan bantuan yang diluluskan oleh kerajaan.
- FINAS berperanan menjadi badan rasmi komuniti industri untuk sebarang pemintaan dan tuntutan kepada kerajaan jika dirasakan ada penambahan yang perlu dilakukan dari pemberian yang sedia ada dengan alasan yang khusus.
- FINAS berperanan melakukan pelan bertindak untuk mengerakkan industri pada Pasca Covid-19 seiring dengan pergerakan aktiviti ekonomi negara
- FINAS berperanan menjalankan komunikasi secara bersepadu dengan komuniti industri untuk melihat keperluan bertindak semasa terutama aspek kebajikan.
Saya sangat teruja dengan segala usaha yang dilakukan oleh sebahagian komuniti industri yang menggalakkan komunikasi secara sistematik dalam ekosistem dan bersama FINAS dalam melihat kebersamaan untuk menghadapi isu ini. Sememangnya sebelum ini, kita telah melalui perkara-perkara yang mengusarkan yang mungkin disebabkan oleh salah faham dan mungkin tersasar dalam melihat peranan FINAS dalam mendepani cabaran industri. Kita harus berjiwa besar untuk melupakan segala perasaan yang gusar dari faktor yang lepas. Industri ini harus menjauhi sebarang perbezaan fahaman politik, ideologi, bangsa, agama dan harus kembali kepada idealisme kita sebagai rakyat Malaysia.
Ini masa yang paling sesuai untuk kita dapatkan sokongan masyarakat untuk menyokong hasil seni kita. FINAS sedang mengembeling semua kepakaran untuk memastikan industri kita kekal relevan kepada masyarakat. Perancangan sedang diatur dan diperkemaskan dari sekarang sebagai persediaan untuk berhadapan pada musim Pasca Covid-19. Sebagai salah seorang yang terlibat dalam segala bentuk perancangan untuk memastikan sokongan terutama untuk masyarakat terus menyokong filem kita dalam Pasca Covid-19 ini, saya amat terdesak untuk memastikan kita dalam komuniti industri ini untuk bersama menyakinkan masyarakat bahawa sokongan mereka adalah nyawa industri kita. Dengan itu, segala kekalutan dan kecelaruan yang melanda hubungan kita dengan masyarakat hingga wujud benih-benih kecil kebencian malah ada kedengaran usaha pemboikotan produk kita, harus lah dijauhkan dan dielakkan.
Saya percaya hanya dengan pendirian ini, maka kita dapat memulihkan sengketa maya bersama netizen dan menggilap keyakinan masyarakat terhadap peranan komuniti industri secara profesional. Bagi rakan-rakan dalam persatuan-persatuan perfileman, dalam tempoh mencabar ini, mari kita rapatkan balik saf kita untuk kita bersama membentuk peranan dan menjalankan tanggungjawab kita untuk ahli dan komuniti industri secara umum.
Hakikatnya, kita dalam industri ini ada peranan dalam masyarakat dan negara, dan hanya sokongan dari masyarakat umum akan memastikan setiap peranan hakiki kita dapat dilaksanakan.
Maka dengan itu, peranan FINAS sebagai kordinator industri perfileman adalah sangat menjadi keutamaan dalam meleraikan salah faham serta kekalutan dalam komunikasi komuniti industri bersama masyarakat. Dan untuk FINAS laksanakan hasrat ini, sokongan dari semua komuniti industri termasuk persatuan-persatuan dan individu adalah sangat diperlukan. Walaupun siapa kita dan industri apa yang kita ceburinya, yang pastinya kita adalah sebahagian dari masyarakat dalam masyarakat.
Sekadar pandangan peribadi ..
Onn Norshal Hamzah
#StayAtHome
