Tahun Baru Cina 2020 vs Convid-19

Ketika saya menulis artikel ini, saya berada dalam penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur dengan penerbangan MAS MH2665. Dengan kelapangan yang ada ini, saya mengambil kesempatan untuk menulis dengan melihat kepada perkembangan industri pemameran di Malaysia dan seluruh dunia.

Hari ini, 18hb Februari 2020, dunia berhadapan dengan cabaran serangan penyakit dengan apa yang dipanggil CoranaVirus 2019 atau singkatannya COVID-19. Virus yang ketika ini belum memiliki vaksin sedang menyerang bandar-bandar di seluruh dunia terutama bandar-bandar yang mempunyai kaitan rapat dengan negara China. Alasannya mudah kerana penyakit ini bermula dari Bandar Wuhan dalam Wilayah Hubei di China.

Mungkin kita terfikir apa kaitan virus ini dengan industri filem termasuk dalam sektor pemameran di dunia. Kaitannya sangat significant. Saya dihubungi dengan seorang rakan yang bekerja di Shenzhen, China dalam sektor pemameran ini. Katanya, banyak pawagam-pawagam di sana menutup operasi. Ada yang menutup sementara dan ada yang menutup terus operasi kerana tekanan kewangan yang tinggi. Implikasinya sudah tentu bukan sahaja dalam industri ini malah kebanyakan industri yang mendedahkan masyarakat dengan kebangkalian dari dijangkiti virus ini.

Di Malaysia bagaimana? Implikasinya tetap sama. Cuma bezanya pawagam kita kekal beroperasi cuma kutipan panggung merundum dari biasa dalam musim yang sama. Hakikatnya, sambutan perayaan Tahun Baru Cina tahun ini tidak cemerlang seperti tahun lalu atas faktor ini.

Untuk memahami ilmu pawagam ini, kita harus tahu bahawa kutipan dan sokongan masyarakat pada pawagam ada siri dan musimnya. Di Amerika Syarikat, musim yang paling hebat kutipan pawagam adalah pada musim panas dengan apa yang dipanggil sebagai Summer Blockbusters biasanya bermula pada hujung Mac hingga Jun setiap tahun. Selain itu, musim seterusnya ialah tayangan akhir tahun. Ini semua dipanggil tayangan Mega Blockbuster. Dan dunia dalam industri ini akan terikat dengan musim ini kerana kebanyakan pawagam di seluruh dunia sangat bergantung kepada filem-filem keluaran barat. Sebab itu saya selalu sebut bahawa industri filem di dunia dalam konteks box office masih berkiblatkan Hollywood.

Di Malaysia, selain dari musim yang saya sebut di atas, mungkin ada sedikit tambahan musim yang mampu menyumbang kepada kutipan Box Office yang baik di pawagam. Antaranya adalah tayangan musim cuti sekolah, tayangan musim hari raya dan perayaan lain. Ini terbukti apabila filem-filem seperti Munafik 2, Hantu Kak Limah dan Polis Evo 2 berjaya mendapat kutipan luar biasa pada musim tayangan bukan pada musim barat. Dan antara musim yang mampu menandingi kutipan pada musim barat adalah pada musim perayaan Tahun Baru Cina. Tapi tidak pada tahun 2020.

Dari sumber tidak rasmi rangkaian pawagam di Malaysia mengalami kejatuhan peratusan sebanyak 40% hingga 45% berbanding tahun lalu untuk filem yang ditayangkan pada tahun baru cina. Sudah tentu ianya dikaitkan dengan COVID-19. Apabila sahaja beberapa filem keluaran tembok besar cina termasuk filem VANGUARD lakonan bintang tersohor Jackie Chan yang sepatutnya ditayangkan pada hari pertama perayaan secara tiba-tiba dibatalkan, industri pawagam menjadi malap. Ini adalah sejarah terburuk kutipan sejak 15 tahun dalam musim ini. Ternyata filem hollywood seperti DOLITTLE dan BAD BOYS FOR LIFE gagal untuk menarik penonton ke pawagam bagi mengimbangi ketiadaan filem-filem dari negara China. Hanya beberapa filem tertentu seperti Enter The Fat Dragon berjaya masuk ke dalam pasaran namun kekal suram dari segi kutipan.

Oleh itu, jelas COVID-19 adalah punca utama kesuraman kutipan tiket di pawagam pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini. Dan jika ini berkekalan tanpa penyelesaian, ianya mungkin menjadi bayangan terhadap prestasi box office dunia dan tempiasnya juga akan di Malaysia sekurang-kurangnya pada suku pertama dan kedua pada tahun 2020.

 

Semoga perkara ini tidak berlanjutan.

 

ONH 2020

error: Content is protected !!