5 Faktor Menjamin Industri Pawagam Tidak Akan Terkubur

Buat kesekian kalinya, saya mengupas mengenai industri pawagam secara umum dan spesifikasinya adalah untuk pasaran di Malaysia. Tahun lepas, kita dikejutkan dengan penutupan rangkaian pawagam ketiga terbesar di Malaysia MBO akibat tekanan kos dan operasi akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa industri ini ditutup hampir setahun.

Itu cerita tahun lalu. Untuk tahun ini, pawagam dibenarkan dibuka seketika dan seterusnya ditutup semula hingga tarikh artikel ini dikeluarkan.

Situasi ini memberikan pelbagai jangkaan mengenai masa depan industri pawagam dengan ramalan persis Nujum Pak Belalang. Dan sudah semestinya, jangkaan yang paling popular ialah industri ini akan berdepan tempoh kiamat yang tidak mungkin tidak dapat diselamatkan.

Ada asas yang kukuh untuk menyokong pandangan-pandangan seperti ini. Dan kita menghormatinya kerana pandangan mereka disokong dengan pelbagai fakta dengan mengambil kira situasi terkini. Antara faktor yang paling penting ialah dunia tayangan digital dan jualan secara atas talian atau paling tepat dipanggil sebagai OTT Platform. Medium ini dikatakan akan bakal menjadi platform yang akan menggantikan pawagam sesuai dengan tema popularnya Pawagam Di Rumah Anda. Sebab itu ketika ini, kita disediakan dengan platform seperti Netflix, Iflix, Disney Plus, Astro First, Astro Best dan macam-macam lagi. Pun begitu, jangan lupa pada perisian yang diprogram secara haram melalui portal filem, Android Box, Facebook, Instagram dan banyak lain. Semua formula ini dikaitkan sebagai pembunuh industri pawagam yang akan mengubah budaya pemameran filem pada masa akan datang.

Persoalannya, apakah teori ini tepat? Dan betulkah industri pawagam sudah mencapai era akhir di mana selepas ini pawagam hanya boleh dilihat di buku-buku sejarah atau arkib negara?

Untuk memahami perkara, saya pernah sebut pada penulisan yang lepas, kita kena faham apa itu pawagam dan kenapa ianya kekal wujud? Teori kematian industri pawagam ini telah lama kedengaran. Industri ini pernah dikatakan akan mati sejak era Video Tape pada tahun 80 an. Selepas itu, teori kematian pawagam ini juga dikaitkan pada awal tahun 2000 dengan kewujudan VCD dan DVD pada ketika ini. Bertebaran salinan ini dijual di pasar malam, kedai mamak, pasar pagi malah juga dijual di kompleks membeli belah secara terbuka, namun pawagam tetap segar dikunjungi. Ini berlaku dalam situasi moden. Jika kita undurkan masa, malah industri ini pernah berhadapan dengan situasi seperti hari ini sekitar tahun 1900 an dengan cabaran pandemik seperti apa yang kita tahu sebagai SPANISH FLU yang merekodkan penutupan rangkaian pawagam di Eropah dan Amerika Syarikat dalam tempoh yang agak lama. Namun selepas itu, pawagam kembali seperti cendawan selepas hujan, tumbuh mekar di serata tempat kerana tahu pencinta akan kekal menjamahnya.

Maka dengan pengalaman ini, saya percaya pawagam akan kekal segar selepas ini. Bagi menyokong teori ini, saya nyatakan 5 faktor utama kenapa industri pawagam akan terus relevan malah mungkin akan lebih cemerlang pada pasca pandemik Covid 19 ini.

  1. Pengalaman Yang Khusus

Cuba tanya diri kita yang pernah menonton di pawagam, puas kah kita menonton sebuah filem di rumah berbanding di pawagam? Jawab secara jujur, kalau diberikan pilihan, untuk kita menonton filem yang kita minat, apakah kita akan menonton di pawagam atau di rumah? Sebagai contoh, ketika filem pecah panggung apakah kita mencapai apa yang kita mahu bila menonton filem tersebut?

Anda tidak perlu jawab secara terbuka kerana secara majoritinya saya dapat meneka jawapan anda. Lebih baik saya terangkan pakej pawagam yang menyokong jawapan saya.

Pawagam dibina berdasarkan kehendak dan keperluan peminatnya. Ianya melalui sistem budaya yang agak lama dan secara naratifnya sentiasa berkomunikasi untuk memenuhi keperluan semasa. Sebab itu kita melihat pawagam telah melalui evolusi konsep dari zaman Stand Alone, Cineplex, Multiplex dan terkini adalah CultureFlex dan Komuniti Cinema. Ianya dilengkapi dengan falsafah skrin besar, dewan yang gelap dan suasana reka bentuk yang membawa pawagam dalam satu dimensi yang berbeza. Cantuman elemen ini membentuk satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dirasai secara optimum jika kita menonton filem di luar pawagam. Maka dengan sendirinya, ia akan mencipta satu pengalaman yang wajib untuk dinikmati.

  1. Budaya Pawagam Dalam Masyarakat

Setelah kita memahami erti kata pawagam melalui pembentukan infra nya yang mencipta pengalaman yang khusus, kekuatan pawagam yang selanjutnya lebih kepada hubungkait nya dengan masyarakat. Sejak berzaman lamanya, pawagam adalah sebahagian dari masyarakat. Pawagam sering dikaitkan sebagai tempat hiburan keluarga, tempat menghilangkan tekanan, tempat muda mudi di lamun cinta dan yang pasti adalah tempat untuk kita menonton filem yang kita minati. Budaya ini kekal malar segar kepada masyarakat dan yang pasti pawagam adalah agen hiburan yang paling sihat untuk masyarakat.

  1. Teknologi Pawagam

Ini adalah alasan yang paling kuat yang menjadikan pawagam kekal relevan hingga kini. Di sinilah kesilapan ramai pemikir industri di luar sana bila menjangkakan pilihan tayangan seperti OTT akan menjadikan punca kejatuhan pawagam. Dalam era moden, tayangan filem bukan lagi kekuatan utama pawagam. Sebenarnya kehebatan pawagam terletak pada teknologinya. Teknologi pawagam ini mempunyai hubungkait dengan faktor dalam menyediakan pengalaman yang hebat. Ianya ibarat suatu sistem santau yang mampu merasuk penonton tentang satu pengalaman yang menciptakan ketagihan tanpa disedari.

Sebab itu kita selalu mendengar, ramai orang selepas menonton pawagam, mereka merasakan sistem suara yang hebat, tayangan yang sempurna, kerusi yang canggih dan penghayatan yang maksimum. Namun ramai yang tidak sedar punca yang sebenar adalah hasil dari garapan teknologi yang khusus di pawagam. Semua ini ada formulanya. Bukan sekadar impian kosong bila industri mengubah teknologi tayangan dari Film Reel kepada sistem digital bermula pada era 2010. Sistem digital ini pula berada pada beberapa format seperti 2D, 3D dan 4D yang menjanjikan pengalaman berbeza. Manakala kini, peralatan projector sudah berubah dari jenis Xenon Projector kepada Sistem Projector Laser.

Untuk mengoptimumkan kualiti tayangan ini, ianya akan disokong dengan kualiti skrin dari pelbagai jenis dengan reka bentuk lurus atau melengkung.

Dari segi sistem suara, teknologi moden menjanjikan pengalaman Dolby 5.1 dan Dolby 7.1. Sistem ini yang dilengkapi dengan Surround Speaker antara 10 unit ke 50 unit bergantung kepada saiz pawagam untuk menjadikannya ianya pakej lengkap. Keunikan ini akan bertambah luar biasa dengan teknologi moden ATMOS, DTS-X dan Auro MAXX yang membawa kualiti suara ke tahap realiti.

Gabungan dari penciptaan teknologi ini akan mencipta fenomena luar biasa ketika menonton dan dalam bahasa yang mudah, teknologi ini mampu membawa penonton terperangkap dalam filem dan berada pada dimensi yang tersendiri. Ini tidak akan mampu dicapai melalui Pawagam Di Rumah Anda. Satu perkara yang perlu diingat, sebahagian filem dengan kos yang besar dibuat menepati cita rasa teknologi ini untuk mencapai kepuasan yang maksima.

  1. Pasaran Pawagam

Berkait rapat dengan faktor yang kedua yang melibatkan budaya, industri pawagam ini sebenarnya disokong oleh pasaran yang khusus. Pencinta pawagam tetap akan menjadikan pawagam sebagai medium penontonan mereka. Sebab itu, ahli industri pawagam tidak pernah gusar dengan kewujudan medium atas talian atau OTT ini kerana mereka percaya pasaran adalah berbeza. Dalam erti kata yang lain, masyarakat yang menonton di rumah adalah pasaran berbeza dengan penonton yang menonton di pawagam. Saya menjangkakan pertindihan peratusan mungkin di antara 10% ke 15% dan angka ini tidak memberikan impak yang besar kepada sistem ekonomi pawagam.

Jika ada pertindihan, penentuan akan ditentukan oleh status filem yang ditayangkan. Jika filem yang berada pada kelas yang tinggi maka pawagam akan tetap menjadi pilihan utama. Namun jika sebaliknya, penonton mungkin membuat pilihan lain bagi perkiraan kos yang berbaloi.

Di sinilah faktor di mana produser dan pengedar filem akan sentiasa berusaha untuk menghasilkan filem yang terbaik bagi mencapai kelas pawagam. Alasannya mudah, pawagam adalah medium tayangan paling selamat dari jenayah cetak rompak. Walaupun bukan optimum tetapi setidaknya masih boleh dikawal.

Ini berbeza jika filem melalui tayangan secara pembelian melalui talian atau OTT, kemungkinan untuk dicetak rompak adalah sangat tinggi. Periuk nasi pengkarya filem tidak akan mampu dipertahankan melalui sistem ini. Sekali lagi pawagam tetap menjadi pilihan pengkarya dan masyarakat pada kelasnya yang tersendiri.

  1. Popcorn Caramel

Mungkin anda akan kata saya tersesat dengan membawa faktor ini dalam perbincangan. Tapi saya kata tidak. Popcorn adalah elemen klasik pawagam menggantikan kuaci dan sotong bakar dengan kicap pedas. Imej pawagam akan cacat tanpa popcorn. Segala faktor mengenai pengalaman yang khusus dan teknologi pawagam yang hebat, akan bisa dirosakkan pada peratusan yang agak tinggi jika ketiadaan popcorn.

Tahu kah kita bahawa popcorn yang dijual di pawagam bukan jenis popcorn yang calang-calang. Jentera masaknya saja sudah bernilai antara RM 50K ke RM 60K bagi satu unit yang kecil. Jentera mesin ini dan bjijian jagung adalah produk yang diimport dari Amerika Syarikat. Cara masakannya pula perlukan kemahiran untuk mengekalkan rasa. Saya punya pengalaman di mana penonton sanggup untuk membatalkan hasrat menonton apabila popcorn telah habis dijual. Dalam satu keadaan yang lain, pembukaan pawagam baru terpaksa ditangguh kerana mesin masakan popcorn ini belum sampai sedangkan pawagam telah siap sepenuhnya untuk operasi.

Inilah kuasa popcorn. Mungkin anda tidak sedar. Anda boleh menikmati di mana-mana tetapi menikmati popcorn di pawagam ibarat rakyat marhain menikmati santapan diraja. Popcorn adalah kekuatan klasik pawagam.

Tapi kenapa saya sebut Popcorn Caramel? Sebab itu kesukaan saya. Anda mungkin berbeza.

Cukup setakat 5 faktor. Ada lagi faktor yang mampu mempertahankan pawagam. Tapi itu nantilah kita bincang. Ini setakat yang asas. Apa yang pasti, walaupun industri ini berada pada keadaan yang tenat di Malaysia, tetapi spesifikasi itu sebenarnya menjurus kepada pengusaha-pengusaha samada mereka mampu bertahan atau tidak. Namun dari segi industri itu sendiri, ianya tidak akan berkubur.

Hanya persoalan sekarang apakah industri pawagam di Malaysia selepas ini akan dikendalikan oleh pengusaha baru atau pengusaha sedia ada mampu bertahan. Inilah yang perlu difikirkan. Sebabnya jika pengusaha kini menarik diri, kita perlukan masa yang panjang untuk membina semula rangkaian pawagam dengan kos pelaburan yang tinggi. Ianya akan membawa implikasi yang negatif kepada ekosistem dan ekonomi perfileman dalam negara kita.

Apapun bagi menghadapi cabaran pada pasca pandemik Covid-19 ini, kami ada formula baru yang istimewa bagi merancakkan industri ini dengan  harapan kita dapat terus bertahan dan melepasi tempoh ini.

Terima kasih kerana terus menyokong industri pawagam.

error: Content is protected !!